Pertama kali mengikut suami beraya ke rumah mertua, pelakon jelita, Scha Al-Yahya akui berdebar untuk menyesuaikan dirinya untuk berjumpa keluarga besar Awal Ashaari pada hari raya pertama.
Scha Al-Yahya berkata Awal Ashaari mempunyai keluarga yang sangat ramai dan dia gusar kalau-kalau dia tidak dapat membiasakan diri dengan cara dan pendekatan keluarga mertuanya yang pasti berbeza daripada keluarganya.
"Kami akan sambut raya pertama kami di rumah keluarga Awal dahulu di Subang Jaya. Ini pertama kali saya akan berkumpul bersama-sama keluarga besar Awal di pagi raya.
"Teruja tu ada tapi sebenarnya saya lebih berasa agak gementar juga kerana,maklumlah ini kali pertama saya beraya dengan semua keluarga Awal kerana keluarganya sangat ramai dan bimbang saya tidak akan dapat menyesuaikan diri.
"Lagi satu apa yang membuatkan saya berdebar adalah bagaimana saya hendak menyesuaikan diri saya dengan cara dan adab mereka kerana setiap keluarga punya cara yang berbeza.
"Jika keluarga saya, mereka lebih bersikap terbuka dan moden. Takut pula saya membiasakan diri saya begitu apabila bersama keluarga Awal. Apa-apa pun saya sedia untuk mendalami cara dan pendekatan keluarga Awal sedikit demi sedikit," katanya
Scha yang bergelar isteri kepada Awal Ashaari pada 4 Mei lalu, bagaiamanapun akan pulang beraya ke rumah keluarganya di Sri Hartamas serta kampungnya di Sungai Petani, Kedah selepas itu.
Sementara itu, Awal yang teruja untuk beraya di kampong Scha selepas pertama kali bergelar suami isteri berkata, dia seronok kerana semua persiapan rayanya banyak diuruskan oleh isteri tercinta.
"Persiapan raya kami bersederhana sahaja dan Scha adalah orang yang penting menguruskan kebanyakan kelengkapan untuk diri dan rumah kami. Menariknya rumah kami ada langsir raya baru yang bercorak-corak kerana masa zaman bujang dulu saya lebih suka pakai 'blind' kerana ia nampak ringkas.
"Namun kami tetap balik ke rumah keluarga untuk beraya. Kami tidak ada masalah dengan giliran balik kampung kerana saya tidak ada kampung dan rumah emak pun di Subang saja. Tahun ini pada hari raya pertama, kami akan beraya di rumah keluarga saya dahulu di Subang dan selepas itu beraya ke rumah keluarga Scha di Sri Hartamas.
"Menyusul selepas itu, barulah kami pulang ke kampung Scha di Sungai Petani, Kedah. Saya juga seronok nak beraya di rumah keluarga Scha kerana mahu merasai keindaan serta nikmat beraya di kampung," jelasnya.
Scha dan Awal bakal bercuti Raya selama dua minggu sebelum mereka kembali berkerja dengan urusan masing-masing.
No comments:
Post a Comment