IPOH: Seorang lagi mangsa lemas yang dihanyutkan arus deras ketika mandi manda di Sungai Perak petang semalam ditemui hari ini kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa Mohamad Imran Rosli, 10, ditemui terapung pada jam 7.10 pagi tadi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
Seorang lagi mangsa berumur lapan tahun yang dikhuatiri hilang di sungai berkenaan dalam kejadian pada jam 4 petang semalam masih belum ditemui dan operasi mencari sedang dijalankan
Abdul Ghaffar berkata, dalam kejadian semalam tiga kanak-kanak bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira kira 400 meter daripada rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong.
Semalam, Suhairi Nizam Baharudin, 12, yang berjaya diselamatkan, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.
Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lebih 30 anggota Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk kampung menyambung semula operasi mencari sejak awal pagi ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment